Monday, 31 October 2016

TAUBAT

TAUBAT
Ehsan Google















Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Saya mulakan tulisan saya ini dengan puji-pujian kepada Allah yang memiliki seluruh alam dan sekalian isi kandungannya. Selawat dan salam saya tujukan kepada Rasulullah SAW dan kaum keluarga baginda.

Saudaraku,

Pernahkah saudara melakukan sesuatu dan akhirnya menyesali perbuatan tersebut? Seringkali kita tidak menyedari bahawa perbuatan yang kita lakukan itu sebenarnya adalah dosa dan mempunyai lebih banyak mudharat daripada manfaatnya. Namun hari demi hari kita akan mengulangi perbuatan dosa tersebut walaupun telah berazam untuk meninggalkannya.

Itulah yang terjadi apabila kita tidak mempunyai niat dan keazaman yang kuat untuk meninggalkan perbuatan dosa tersebut. Kita cuba untuk bertaubat tetapi seringkali taubat itu tidak dilakukan secara bersungguh-sungguh. Walaupun kita berjanji untuk tidak mengulanginya, tanpa disedari kita tidak dapat menahan diri daripada melakukannya.

Di sini saya ingin menasihati diri saya dan saudara-saudara yang budiman untuk sama-sama berkongsi solusi terhadap permasalahan ini. Saya mencadangkan marilah kita bersama-sama muhasabah diri dan melihat perkara ini secara serius.

Saudaraku,

Allah itu adalah Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Mohonlah secara istiqamah kepada-Nya agar menetapkan hati kita di atas landasan yang lurus dan tidak membolak-balikkannya. Memang benar iman boleh bertambah dan berkurang tetapi menjadi tanggungjawab kita untuk mempastikan ia semakin meningkat setiap hari.

Perasaan menyesal itu merupakan sifat yang baik apatah lagi sekiranya kita menyesali perbuatan kita yang buruk. Menyesal adalah langkah awal sebelum lebih banyak langkah yang harus diambil. Selepas menyesal kita perlu menanam azam yang kuat untuk tidak mengulangi perbuatan buruk tersebut.

Seterusnya, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang bersungguh-sungguh. Mohonlah kepada Allah agar menunjukkan kepada kita nur dan hidayah-Nya. Lakukanlah solat sunat taubat secara konsisten dan teratur. Yakinlah pertolongan Allah itu sangat dekat buat hamba yang benar-benar inginkan petunjuk dari-Nya.

Saudara,

Ingatlah setiap problema hidup punya solusi sekiranya kita percaya pada kekuasaan dan rahmat-Nya. Allah itu adalah sepertimana sangkaan hamba-Nya. Janganlah kita berburuk sangka terhadap Allah kerana sebahagian daripada buruk sangka itu merupakan dosa.

Sekian sahajalah perkongsian ilmu dan buah fikiran daripada saya Al-Faqirah Ila Allah. Sehingga kita berjumpa lagi di lain kesempatan, In Sya Allah Taala. Mohon maaf atas segala kesalahan dan terima kasih atas segala perhatian. Semua yang baik itu datangnya daripada Allah dan yang buruk itu daripada kekurangan diri saya sendiri. Jumpa lagi. Wa Allahu A’lam.