Assalamualaikum dan salam sejahtera... Blog ini cuba menghimpunkan koleksi puisi/sajak/mutiara kata/kata-kata hikmah/artikel yang dikumpulkan lewat pembacaan saya menerusi buku/majalah/akhbar dll. BUKAN semua yang tersiar adalah karya pemilik blog. Justeru kandungan blog ini hanyalah refleksi minat saya yang mendalam terhadap bahasa dan kesusasteraan. Terima kasih kepada semua pengkarya dan medium yang terlibat. All rights reserved to their respective owners.
Sunday, 31 March 2013
BULAN
Tahukah kau bagaimana aku bertemu bahagia
Ketika melihat bulan dan amat terpesona
Bukan kerana sinarannya, itu perkara biasa
Tapi jauhnya perjalanan untuk sampai ke sana
Kerana tidak mahu mengalah
Kepada yang bernama mustahil
Kujejaki awan dan langit serta berjuta bintang
Akhirnya kutemui diriku sendiri
Rupanya bulan amat hampir sekali.
~Siti Zaleha M. Hashim
Leeds, UK (1996)
Buku 'Camar Di Cangkir Bumi'
Thursday, 21 March 2013
SUKARNYA MELEPASKANMU
Udara yang dingin itu
Menyaksikan dedebu salji turun ke bumi
Aku melangkah longlai
Langkah yang meninggalkan memori hitam di mindaku
Aku cuba menarik nafas dalam-dalam
Kulihat sekeliling sambil tersenyum...
Permukaan bumi kelihatan putih dilitupi salji
Suara keriangan bergema di ruang udara
Berjalan beriringan bersama-sama di kedinginan malam
Itu adalah kisah cinta kita yang silam
Semasa kita masih berpasangan
Aku takkan lupakan
Tapi hidup perlu diteruskan
Kubisikkan dalam hati
"Senyumlah, semuanya akan baik-baik sahaja"...
Setahun berlalu
Kita sudah pun mengucapkan selamat tinggal
Walau kenangan itu semakin dimamah waktu
Mengapa sukar untukku melepaskanmu?
Aku hanya mampu mendongak ke langit
Menarik nafas dan tertawa kecil
Tak mengapa, aku boleh melakukannya
Senyumlah...
Di seberang taman itu
Pepohon masih tetap tegak berdiri
Aku curi-curi melihat
Nama kita yang terukir di situ
Segalanya masih sama
Tetapi mengapa aku rasa berbeza?
Aku pasti ketika ini
Diriku sedang dihujani salji
Rupa-rupanya airmata yang membasahi pipi...
Waktu sebegini
Aku tak seharusnya keluar
Mungkin lebih baik membaca buku sahaja di rumah
Oleh itu aku takkan digamit memori
Tentang kau sekali lagi
Oh! Mengapa sukar untuk aku melepaskanmu?
Sedangkan kau adalah masa silamku
Aku tak ingin dirimu membayangi hidupku
Agaknya berapa lamakah
Masa yang diperlukan
Untuk aku benar-benar
Dapat melepaskan kau pergi
Dan melupakan dirimu buat selama-lamanya?
~Ditulis oleh: azn1004girl
~Diterjemahkan oleh: Kalimah Cinta Penyair
Hak Cipta Terpelihara
Monday, 18 March 2013
GADIS DESA
Gadis desa
kutemui dia
ketika kulalui satu lorong kaki lima
ada bunga-bunga mekar di tangan
ada senyum tawa terukir di bibir
menyimpan suatu rahsia
keperitan hidup
yang masih belum berakhir.
Gadis desa
matamu terungkap
sebuah misteri kehidupan
yang penuh bermakna
aku pasti kau akan berjaya
mengharungi pagar-pagar derita
terbentang di halaman hidupmu
walau kau cuma gadis desa
terpinggir di ceruk pedalaman
namun punya sejuta ketabahan.
~Jarata Lily
Sandakan, Sabah.
Sumber: Buku 'Harapan di Joyrampur'
Tuesday, 12 March 2013
5 KEAJAIBAN CINTA
#1-Lemparkan seorang yang bahagia dalam bercinta ke dalam laut, pasti ia akan membawa seekor ikan. Lemparkan pula seorang yang gagal dalam bercinta ke dalam gedung roti, pasti ia akan mati kelaparan.
#2-Kekasih terbaik adalah kekasih di mana ketika kita duduk bersama di sebuah ayunan, tanpa ada ucapan sepatah kata pun, dan ketika harus berpisah dengannya, terasa seolah hal tersebut merupakan percakapan paling menyenangkan yang pernah dilakukan bersama. Ajaib bukan?
#3-Cinta dapat mengubah pahit menjadi manis, debu beralih emas, keruh menjadi bening, sakit menjadi sembuh, penjara menjadi telaga, derita menjadi nikmat dan kemarahan menjadi rahmat.
#4-Mungkin Tuhan menginginkan kita bertemu dan bercinta dengan orang yang salah sebelum bertemu dengan orang yang tepat, kita harus mengerti bagaimana berterima kasih atas kurnia tersebut.
#5-Tuhan memberikan kita dua kaki untuk berjalan, dua tangan untuk memegang, dua telinga untuk mendengar dan dua mata untuk melihat. Tetapi mengapa Tuhan hanya menganugerahkan sekeping hati pada kita? Kerana Tuhan telah memberikan sekeping lagi hati pada seseorang untuk kita mencarinya. Itulah hebatnya Cinta.
~Dipetik daripada buku 'Cinta 1...2...3'
Thursday, 7 March 2013
MAJNUN
Hati retak
dipahat cinta
rindu merayau
di padang derita
dahaga menjerit
di pulau tandus
lidah mengulang
nama Kekasih.
~Johar Buang
Mingguan Aneka
22 Mac 1986
Saturday, 2 March 2013
DI SEBALIK UJIAN-MU YA ALLAH...
Ya Allah, mengapakah seringkali aku berasa sukar untuk menterjemah
keindahan hikmah dan nikmat di sebalik keperitan ujian dan dugaan-Mu dalam
hidupku? Malah kenapa adakalanya aku gagal menafsir dan menaksir maksud yang
tersurat apalagi makna yang tersirat yang terselindung di sebalik cubaan hidup
ini? Bukan maksudku untuk mengingkari qada' dan qadar-Mu, jauh sekali untuk tidak
meredhainya, tetapi aku sekadar ingin memanjatkan munajat dan pengharapanku di
hadapan-Mu…tanda betapa kerdilnya diriku dan betapa lemahnya dayaku tanpa belas
kasihan dan kasih sayang-Mu, Ya Allah.
Mungkin juga kekadang aku terlupa hakikat sebenar kewujudan diriku di dunia
yang fana ini. Siapalah aku untuk mempersoalkan ketentuan-Nya dan apalah hak
aku untuk mempertikaikan keputusan-Nya. Sebagai hamba sewajibnya aku mengakui
keagungan dan kehebatan Allah dalam melakar dan merencana aturcara hidupku.
Nisbah bagi hamba hanyalah berusaha namun nisbah bagi Allahlah untuk
merealisasikannya. Bak kata sang bijak bestari, ‘Kita tidak mampu untuk
mengawal arah angin namun kita dapat mengawal haluan kemudi.’ Begitulah juga
realitinya dalam kehidupan manusia yang hanya mampu merancang sedangkan yang
Maha Menentukan hanyalah Dia yang Maha Berkuasa.
Dan jawapan kepada persoalan yang aku bangkitkan sebentar tadi iaitu
mengapa sukar mencari hikmah di sebalik musibah mahupun mehnah…pastinya kerana
kekurangan dan keterbatasan akal serta pemikiran manusia itu sendiri. Selagi
manusia bernama manusia selagi itulah ia berfikir dan bertindak dalam
lingkungan sifat-sifat manusia yang antaranya: tergesa-gesa, kedekut, mudah
lupa, tidak sabar, suka berkeluh-kesah, sombong, tidak berterima kasih, suka
menunjuk-nunjuk, suka merosakkan diri sendiri dan sangat mencintai dunia.
Aku juga percaya kegagalan ini bukan bermaksud Engkau tidak mengasihiku
melainkan Engkau mempunyai perancangan atau agenda yang lebih baik buatku.
Mungkin juga Engkau menjauhkan kejayaan daripadaku kerana bimbang aku tidak
mampu untuk memenuhi hak-hak memiliki kejayaan itu atau tidak mahu aku menjadi
seorang yang kufur nikmat. Kejayaan itu sekiranya aku perolehi mungkin boleh
saja membuatkan aku lupa diri, lupa untuk bersyukur dan berasa ujub pada diriku
sendiri. Dan sebenarnya semua kejayaan dan kemasyhuran itu pasti tidak akan
terjadi tanpa keinginan dan keizinan daripada-Mu.
Tuhanku, bukan mudah untukku bangkit dari kegagalan lalu dan meneruskan
sisa-sisa perjalanan hidup menuju redha-Mu. Syukurlah, Engkau sentiasa ada di
sisiku, selalu menemaniku dalam susah dan senang, dalam suka dan duka. Aku
percaya pada sabda Rasul-Mu yang bermaksud:
(Allah itu lebih dekat daripada urat lehermu)
Kau boleh diibaratkan sebagai nyawaku… bukan, yang lebih tepat Engkaulah
Yang Maha Menghidupkan dan Mematikan hamba-Mu, Engkaulah yang mengawal dan
memiliki nyawa dan jasadku. Engkau punya semua hak ke atas setiap inci tubuh
ini zahir dan batin. Aku tidak dapat hidup jika tanpa kehendak dan
rahmat-Mu. Tanpa hidayah dan petunjuk
daripada-Mu aku bisa tersesat dan tersasar dari landasan kebenaran hidup ini.
Aku sedar sebagai hamba-Mu yang lemah aku sentiasa memerlukan sokongan dan
pertolongan-Mu pada setiap peringkat hidupku. Cinta dan kasih sayang-Mu punya
kekuatan dan impak yang mendalam terhadap perjuanganku mencari sakinah-Mu.
Pernah dahulu aku ragui suratan hidup yang Engkau beri. Pernah juga aku sesali
kenyataan hidup yang kualami. Tapi di suatu sudut hatiku, aku tetap mempercayai
firman-Mu:
(Aku tidak menguji hamba-Ku melebihi kemampuannya)
Alangkah indahnya ayat suci itu, bagai membius luka yang berdarah dan duka
yang semakin parah dalam hatiku ketika itu. Berulang-ulangkali kuulangi bacaan
ayat tersebut sambil menghayati maksud dan cuba menerapkannya dalam fikiranku.
Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim… berilah aku kekuatan untuk menghadapi dugaan-Mu
kali ini.
Ternyata Engkau Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui segala
rintihan hamba-Mu. Di saat diriku diselubungi kesedihan dan kehibaan, Engkau
datang menyuntik keceriaan dan keriangan dalam hatiku. Tibanya hidayah-Mu
ketika aku amat memerlukannya, sampainya nur-Mu apabila aku amat
menginginkannya. Ternyata Engkau lebih memahami keadaan dan situasi sebenar
diriku.
Betapa aku amat bersyukur dan berterima kasih pada-Mu Ya Allah atas segala
pemberian dan anugerah yang Engkau
kurniakan dalam hidupku. Segala kepayahan dan kesenangan, kedukaan dan
kegembiraan, kegagalan dan kejayaan semuanya bagaikan asam garam dan rempah
ratus dalam kehidupan. Tanpa kepayahan, kesenangan itu mungkin kurang dihargai,
tanpa kedukaan, kegembiraan itu mungkin kurang dinikmati dan tanpa kegagalan,
kejayaan itu mungkin bagaikan kekurangan erti.
Tuhanku, sesungguhnya ketenangan hati, kelapangan dada dan kejernihan
fikiran yang kurasakan kini amatlah kusyukuri. Bantulah aku Ya Allah untuk
mendidik hati ini agar sentiasa mengingati-Mu, dalam suka dan duka, dalam ria
dan sengsara. Ini kerana tanpa-Mu siapalah aku di bumi yang fana ini, bagaikan
sebutir pasir yang mencari ruang untuk berlabuh di pesisiran pantai.
Janganlahlah pula Engkau izinkan Ya Allah agar keindahan dan kenikmatan
dunia ini menjadi penghalang dan penghadang untuk aku memiliki hati yang
sentiasa mengingati kurniaan-Mu, hati yang selalu mengenangkan anugerah-Mu
dalam hidupku. Ya Allah jadikanlah aku di kalangan hamba-hamba-Mu yang
bersyukur, yang berterima kasih di atas segala pemberian-Mu.
Tuhanku, sebagai hamba yang serba kekurangan, sesuai dengan sifat-sifat
manusiawi aku memohon, jadikanlah kecintaanku terhadap-Mu melebihi kecintaanku
terhadap dunia ini dan seluruh isinya. Sesungguhnya tiada cinta yang lebih ku
dambakan selain kesempurnaan cinta terhadap-Mu, Ya Allah. Bantulah aku Ya Allah
untuk mendidik nafsuku dan tolonglah aku untuk menjadi insan yang memiliki jiwa
dengan nafsu mutmainnah, jiwa yang saling meredhai, iaitu aku merasa redha
dengan-Mu dan Engkau pula meredhai aku. Amin Ya Rabbal Alamin.
WALLAHUA'LAM.
~Ditulis dan dikirimkan oleh: Zarina HS, Alisa Qaisara MH dan Muhammad Adam Hakimi MF.
Subscribe to:
Posts (Atom)





