Monday, 25 June 2012

BERPADA-PADA























Yang disebut sifat berpada-pada
Mengejar pangkat pada darjatnya
Mengejar harta pada patutnya
Mengejar kedudukan pada layaknya


Pangkat jangan membawa mudarat
Harta jangan membawa nista
Kedudukan jangan membinasakan
Selera jangan dimanjakan
Nafsu jangan diturutkan
Dunia jangan membutakan
Ukur bayang-bayang sepanjang zaman
Ukur ilmu dengan kemampuan


~Tenas Effendy 2003a


Tuesday, 19 June 2012

SUARA ALAM












Dengarkanlah suara alam
Berkumandang dalam diri
Menyatukan rentak dan gerak
Kehidupan duniawi
Tatkala kita menjelajah
Ke segenap ceruk dan pelusuk
Menggeledah khazanah alam
Dengan penuh kesyukuran
Hayatilah

DEGUP TANAH pada BUMINYA

DEBUR AIR dari ALIRNYA

MARAK API dalam NYALANYA

DESIR ANGIN dengan DERUNYA

~Asparagus

Tuesday, 12 June 2012

PANTUN BUDI










Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa,
Indah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa.

Anak Cina mengirim surat,
Dari Jawa sampai ke Deli,
Hidup di dunia biar beradat,
Budi tidak dijual beli.

Pergi berakit mencari kerang,
Padi di bendang dimakan kedidi,
Bukan ringgit dipandang orang,
Tapi memandang bahasa dan budi.

Anak dara duduk di pangkin,
Berhias cantik bergelang suasa,
Tidak kira kaya miskin,
Asalkan baik budi bahasa.

Ayam rintik di pinggir hutan,
Nampak dari tepi telaga,
Budi yang baik jadi ingatan,
Seribu tahun terkenang juga.

Nanas dijual di pasar niaga,
Ramai orang datang membeli,
Emas perak perhiasan dunia,
Budi bahasa perhiasan diri.

Sebesar-besar mayang pinang,
Takkan sama mayang kelapa,
Sebesar-besar sayang orang,
Tak sama sayang ibu bapa.

Halia ini tanam-tanaman,
Ke barat juga tumbuh condongnya,
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Akhirat juga akan sungguhnya.

~Dipetik daripada 'Seuntai Kata Seindah Bahasa'
   Penyusun: Jaharah Nordin