Friday, 27 September 2013

MENYEMAI SIFAT SABAR (Ya Allah, bersihkan hatiku)














Alangkah indah dan manisnya hidup ini apabila sifat sabar menjadi pakaian yang menghiasi dan melindungi diri setiap insan muslim dan muslimah. Lantas, fungsi sabar dalam kehidupan tidak hanya dalam mencantikkan akhlak tetapi turut menjadi benteng yang padu dan kukuh dalam melawan serangan syaitan dan hawa nafsu. Ironinya, membina dan membangun sifat sabar itu suatu tanggungjawab yang jauh lebih sukar untuk dilaksanakan walaupun mengucapkannya tidaklah sesukar mana.

Sesungguhnya sifat sabar mempunyai makna dan pengertian yang amat luas dan mendalam walaupun sering diambil mudah dan dipandang ringan oleh kebanyakan orang. Selalunya sifat sabar dikaitkan dengan emosi semata-mata, contohnya sabar ketika hendak marah, sabar ketika mendengar bunyi yang membingitkan, sabar ketika menerima khabar kematian saudara terdekat dan sebagainya. Namun hakikatnya sabar meliputi pelbagai aspek hidup muslim dan muslimah sehinggakan di dalam hadith ada mengatakan bahawa sabar itu separuh daripada iman.

Menerusi penulisan ini saya ingin menyentuh aspek sabar dalam menahan diri daripada melakukan maksiat mahupun perbuatan yang ditegah oleh agama. Menyemai sifat sabar itu susah, namun untuk mengekalkan kesabaran itu jauh lebih susah lebih-lebih lagi pada zaman kini yang penuh dengan cabaran modenisasi dan globalisasi.

Seperti yang diketahui umum, dalam diri manusia itu secara semulajadinya telah dianugerahkan dengan nafsu, akal dan hati. Nafsu secara umumnya sentiasa mendorong kita untuk melakukan perbuatan yang dilarang dan bertentangan dengan hukum dan syariat agama. Berbeza dengan nafsu, Allah telah memberikan kita akal yang sekiranya dalam keadaan yang waras, ia mampu membezakan antara yang baik dan buruk. Manakala hati yang bersih pula dapat mengawal anggota badan daripada melakukan kejahatan.

Justeru sekiranya kita ingin menanam sifat sabar dalam diri maka ketiga-tiga elemen di atas perlu diberi perhatian yang serius. Dengan perkataan yang mudah, akal perlu bekerjasama dengan hati untuk melawan nafsu daripada bermaharajalela. Bagaimanakah caranya? Ya, kita perlu mendidik nafsu dengan bantuan akal yang waras dan hati yang bersih.

Bukankah Allah telah menganugerahkan kepada kita akal supaya kita berfikir? Dalam konteks ini, marilah kita sama-sama menggunakan anugerah Allah itu untuk memikirkan betapa banyak rahmat dan nikmat yang telah Allah berikan pada kita selama ini. Nikmat kehidupan ini, kekayaan, kesihatan, kejayaan dalam pelajaran dan kerjaya, keharmonian rumahtangga dan 1001 nikmat yang tak terhitung banyaknya. Justeru, adakah kita sanggup mengabaikan segala nikmat tersebut dan meletakkan keinginan nafsu sebagai keutamaan?

Adakah wajar kita mensyukuri segala nikmat pemberiannya dengan cara melakukan kemaksiatan dan perkara-perkara yang ditegah-Nya? Adakah kita sanggup membayar harga segala kenikmatan itu dengan melakukan kemungkaran kepada-Nya? Lupakah kita pada Dia Yang Maha Pemberi Nikmat? Tepuk dada tanyalah iman…  

Sementara itu hati turut memainkan peranan yang penting. Hati yang bersih dapat memandu kita ke arah kebenaran dan melakukan kebaikan sedangkan hati yang kotor pula sebaliknya. Oleh itu, amat penting bagi kita untuk memelihara hati agar sentiasa bersih dan terhindar daripada perkara-perkara yang dapat merosakkan kesuciannya.

Sifat sabar adalah salah satu sifat yang baik (mahmudah) justeru harus disemai dan ditanam dalam hati yang baik juga. Sekiranya kita cuba menyemainya dalam hati yang kotor, seumpama kita cuba menanam tanaman di tanah yang gersang dan kering-kontang. Tentu sukar bagi tanaman tersebut untuk hidup dan bercambah menjadi pohon yang besar dan kukuh.

Demikian jugalah keadaannya apabila sifat sabar cuba diterapkan dalam hati yang kotor. Mungkin sifat tersebut dapat ‘hidup’ tetapi tidak dapat bertahan lama dan akhirnya ‘mati’. Maksudnya sifat sabar itu tidak dapat berfungsi secara optimum dalam hati yang diselubungi noda dan dosa. Noda dan dosa yang menyelubungi hati bagai virus yang melemahkan kekuatan sifat sabar yang ingin diterapkan di dalamnya.

Justeru, marilah kita bersama-sama membersihkan hati kita dengan memperbanyakkan membaca Al-Quran dan menghayati maknanya, mendirikan solat malam (qiamullail), mengamalkan puasa sunat, melazimkan berzikir dan bersahabat dengan orang-orang soleh. Semoga hati kita sentiasa bersih dan terpelihara daripada sifat-sifat mazmumah.

Wallahua'lam.

Nukilan: Zarina Sitiris
23 Mac 2013
Banting, Selangor