Saturday, 7 September 2013

SEDEGUP JANTUNG SAHAJA JARAKNYA













Biarpun nanti kau akan memilih warna hidupmu sendiri
dan waktu akan memisahkan
namun antara kita sedegup jantung sahaja jaraknya
doaku tetap terhimpun agar kapalmu tidak terapung
sekadar mengikut angin, gugusan hari-hari yang kaulalui
biar manis dan beerti.

Jika kau berada di simpang meminta pertimbangan
berjuang di antara keinginan untuk pulang
ke tanah lapang yang ditumbuhi lalang
atau mencari arah taman indah
di tepinya mengalir kali yang bening
seperti yang pernah kujejaki
yakinlah Yang Ghaib akan mengingatkan arah
kerana hanya Dia Yang Maha Tahu
bulan dan bintang pun sujud kepada-Nya
ombak di laut berulang menyeru nama-Nya
ketika resah menghujani-Mu, ingat Yang Satu
Dia yang mencipta sejuk dan Dia yang mencipta panas
Dia yang mencipta mimpi dan Dia yang mencipta realiti
padamu anak-anakku impianku melambung
kasih dan sayangku tiada berhujung.


~Siti Zaleha M. Hashim
  1997, KL 
  Sumber: Buku 'Camar Di Cangkir Bumi'