Monday, 30 December 2013

AKU DAN PERJUANGAN


















Aku seorang manusia, seorang wanita
Secantik-cantik perhiasan dunia yang dijadikan Allah
Yang bernaung di bawah rimbunan rahmat
Dan kasih sayang
Yang punya jiwa sebesar jiwa pejuang
Mujahidah menjadi impian, syahid menjadi idaman…

Aku seorang isteri
Kepada insan bergelar suami
Keredhaannya menjadi kerahmatan Ilahi
Dalam hati sentiasa terpahat
Kecekalan serta semangat
Sumayyah, Masyitah dan Aisyah
Walau menempuh duri rintangan
Walau maut menggamit datang
Namun cintaku pada Ilahi tak mungkin hilang
Walau tidak setulus Muti’ah
Atau setabah Aisyah dan Khadijah
Namun jauh di sudut hati
Janjiku untuk berbakti
Hanya papan dan bumi pemisah diri…

Aku jua seorang ibu
Pada putera dan puteriku
Pembentuk akhlak dan sahsiah
Di bahuku terpikulsegunung amanah
Di luar gelanggang rumahku
Aku pendidik anak bangsaku
Penuh jerih menimba ilmu
Mengharap redha dan bimbinganku
Pun begitu masih kucari ruang dan waktu
Untuk rumahtanggaku, untuk suamiku
Untuk anak-anakku…

Suami yang kuhormati,
Dalam dirimu ada sesuatu yang tak kumengerti
Adakalanya kau nyalakan obor semangatku
Kau pembimbing jalan perjuangan
Tapi adakalanya kau bagaikan tembok penghalang
penghadang antara aku dan perjuangan
Jua adakalanya bila kebuntuan mencari penyelesaian
Dalam mehnah dan ujian
Ingin saja kunoktahkan perjalanan
Mematikan diri dalam jemaah
Mematikan diri dalam harakah
Namun aku tak akan mengalah
Kerana aku punya prinsip jemaah
Akan kudidik diri menjadi tabah...

Wahai suamiku,
Bukan kupinta emas dan intan
Sutera mahal menyalut badan
Hanya yang amat kuimpikan
Secebis pengertian dan pengharapan
Mengertilah aku juga ingin menjadi mujahidah
Yang tabah lagi solehah
Yang hanya kutemui bersama jemaah
Dalam ikatan Ukhuwwah Islamiah
Hidup ini menjadi indah...

Tuhanku,
Insan kerdil ini amat mengharapkanmu
Menagih setitis embun rahmah
Segala yang susah menjadi mudah
Kerana aku sedar
Jalan ke syurga amatlah sukar…

Tuhan,
Bersama sendu dan tangisan
Itulah ujian penguji keimanan
Jangan Engkau gelincirkan diri ini
Setelah Engkau tunjukkan jalan
Istiqamahkan perjuangan
Teguhkan iman dan kesabaran
Mujahidah solehah menjadi idaman…