Tuesday, 28 May 2013

TERIMA KASIH, IBU











        Benar bagai dikata, kasih dan redha ibu membawa ke syurga. Kata-kata lain pula ada menyatakan syurga itu di bawah tapak kaki ibu. Demikian ingin aku gambarkan betapa hebatnya peranan dan tanggungjawab seorang ibu terhadap 'masa depan' anaknya di akhirat kelak.      

        Bagiku, ibuku bukan sahaja sumber inspirasi, malah lambang wanita sejati dari dahulu hingga kini. Ibu pencetus keluarga bahagia dan sejahtera. Sejak kecil aku diajar erti cinta dan kasih sayang. Ibu mengasihiku tanpa syarat dan sentiasa memastikan agar aku memperolehi kasih sayang secukupnya.

        Aku ingat lagi, sewaktu semua orang menyalahkan aku, ibu segera melindungi dan memberi sokongan sepenuhnya padaku. Bukan bermaksud melindungi kesalahanku, tetapi memberi ruang agar aku menyedari dan menginsafi kekurangan diri. Bukan terus menjatuhkan hukuman, tetapi memberi peluang untukku memperbaiki kesalahan yang dilakukan. Sesungguhnya ibulah yang paling memahami gelora di hati ini.

        Apabila aku inginkan sesuatu, ibu pasti cuba merealisasikannya untukku. Bagi ibu, memenuhi kemahuanku, sama seperti memenuhi keperluannya sendiri. Apabila keinginanku gagal dipenuhi, ibu cuba mendidikku dengan mengatakan, “Adik, kebahagiaan bukan terletak pada memiliki semua yang kita inginkan, tetapi kerana kita tidak menginginkan apa yang tidak dapat kita miliki”. Dan itulah falsafah hidup yang kupegang hingga kini.

        Ibu, kehadiranmu dalam hidupku adalah suatu anugerah. Kepentingan dan perananmu tidak dapat lagi disanggah. Semoga hubungan akrab di antara kita menjadi kenangan hidup yang terindah. Aku ingin sekali kau tahu, ibu, aku amat berterima kasih padamu. Terima kasih, ibu…


~Kalimah Cinta Penyair
  April 2013
  Hakcipta Terpelihara