Monday, 26 November 2012

SEORANG TUN FATIMAH BERBICARA














Barangkali aku yang tersilap
kerana rela memaafkan kesilapan
tetapi inilah cara terbaik
meninggalkan catatan-catatan kekhilafan
untuk iktibar generasi depan.

Mungkinkah aku tersilap
kerana tidak berterima kasih dengan kelahiran
bukan suatu dosa apabila dicipta istimewa
tatapi paras jelita mengundang pesona
api murka..
membakar seluruh kehidupan
baranya tumpah ke tanjung, muara
ke pantai Sungai Melaka.

Apakah kewanitaanku yang tersilap
hidup untuk harus akur dan membenarkan
tiada peluang membuka suara
menegakkan prinsip meluahkan rasa
akhirnya terpaksa menerima
untuk menghiasi singgahsana.

Dalam sempat dengarkanlah pesan,
harga seorang wanita bukan paras tubuh,
tetapi akal budi, peribadi
nama baiknya
yang dituntut bukan persamaan
tetapi kesaksamaan
yang dipinta bukan kemewahan
tetapi perhargaan
anak manusia bernama wanita itu
tidak mudah hidupnya.

Benarkah aku yang beruntung
harum nama di mana-mana
dalam puisi, rencana, cereka
di pentas, bangsawan, bibir pujangga
atau akukah yang paling malang
dilahirkan terlalu istimewa
tetapi terhukum dalam lagenda.

~Siti Raihani Mohd Saaid
  Shah Alam 97
  (Sebuah Hati Di Cheng Du)