Wednesday, 7 November 2012

JANGAN II (2)











Jangan tenun benang-benang harapan
menjadi kain
kalau yang hendak disulam
hanya sehiris perasaan yang luka
kerana ia mudah terkoyak
apabila terpotong gunting kesumat
yang diam tapi tak diam

Jangan warnai kanvas kehidupan
menjadi lukisan
kalau yang hendak dipamerkan
hanya secebis kebenaran yang patah
kerana ia mudah pudar
apabila seri warnanya rebah
satu-satu di tepian hari

Jangan petik bunga-bunga rindu
menjadi hadiah
kalau yang hendak diberikan
hanya segugus kasih yang luka
kerana ia tak mudah dihargai
apabila jejari tercucuk duri
pedih bisa tak terperi

Jangan susun nada-nada emosi
menjadi lagu
kalau yang hendak diiramakan
hanya sepotong rasa yang palsu
kerana ia mudah sumbang
apabila tangan tiba-tiba layu
dan suara tergantung kaku
yang kehilangan ilham di hujung waktu

Jangan lalukan yang bukan-bukan
menjadi hiburan
kalau yang hendak diraikan
hanya memantulkan kejelikan sendiri
kerana ia tak mudah dihapuskan
di ruang suasana
oleh suara-suara keras
yang gemar menyaksikan
suatu kemusnahan...


~Peter Augustine Goh
  Singapura