Sunday, 20 January 2013

TAWAKAL












Kita harus yakin, apa yang ditetapkan Allah tidak akan ada yang
dapat mengambilnya daripada kita kerana kekuasaan Allah itu Maha
Sempurna.

Kalau Allah akan memberi sesuatu kepada kita, PASTI akan sampai;
tidak ada yang dapat menghalangi.
Dan apa yang tidak diberikan Allah kepada kita, PASTI tidak akan
ada yang mampu menyampaikannya.

Ketahuilah, Penguasa mutlak setiap takdir adalah Allah.
Kita harus menyempurnakan ikhtiar sebagai ibadah.
Kita harus bersedekah sebagai penolak bala agar sampai ke takdir
terbaik kita.

Kita pun harus banyak berdoa agar Allah memilihkan takdir terbaik
untuk kita.
Walaubagaimanapun, kita harus yakin hanya Allah yang Maha Tahu
takdir yang terbaik untuk kita.

Barangsiapa yang masih ketakutan dan berharap kepada selain Allah
pasti tidak akan tenang hidupnya.

Mudah-mudahan kita menjadi hamba Allah yang bertawakal. Amin.

Wallahua'lam.


~Dipetik dan diinspirasikan daripada tulisan KH. Abdullah Gymnastiar.


Monday, 14 January 2013

IZINKAN AKU MENCINTAIMU












Aku sekadar ingin tahu
Adakah sesiapa yang sedang mencintaimu saat ini?
Seandainya tiada...
Izinkanlah aku untuk menjadi lelaki itu
Yang pasti menjadi insan paling bertuah
Kerana mampu mengisi ruang hatimu
Kerana berupaya memiliki cinta ikhlasmu
Terima kasih kerana memberi peluang itu
Untuk jatuh dan bangun bersamamu
Untuk merasai susah senang denganmu
Tuhanku...
Berkatilah hubungan ini dengan rahmat-Mu
Restuilah kami dengan redha-Mu
Lalu siapalah aku
Untuk meminta lebih daripada itu?

~Kalimah Cinta Penyair
  Januari 2013
  Hakcipta Terpelihara

Tuesday, 8 January 2013

DI PERJALANAN INI











Mulakanlah perjalanan jauh ini
Berbekalkan peta yang diberi
Dan sedari
Terlalu banyak halangan yang bakal ditempuhi
Memerlukan kewaspadaan dan kebulatan hati.

Jika terhenti di perhentian nanti
Dan terlihat ramai orang datang pergi
Bas dan teksi silih berganti
Hati-hati
Bukan semua boleh dinaiki.

Jika tersinggah di pasar raya warna-warni
Dan terlihat banyak ole-ole yang mahu dibeli
Hati-hati
Bukan semua boleh dibawa pulang nanti.

Jika termasuk di lebuh raya nanti
Dan terlihat pandu arah kanan kiri
Menuju pelbagai destinasi
Hati-hati
Bukan semua lorong boleh dilalui.

Meneruskan perjalanan yang panjang ini
Berpandulah pada peta yang diberi.


~Esa Mohd. Salleh
  Sumber: Buku Antologi Puisi Dan Cerpen 'Virus Jihad'.

Friday, 28 December 2012

KITA SEMAKIN MATANG MENGUKIR KEDEWASAAN (Sempena Menjelangnya Tahun Baru 2013)

Seperti biji benih yang terhumban
di kaki bukit yang dingin
bercambah segar
di bawah sapaan suria pagi
menumbuhkan dedaun dan batang
menjulang segar
berbuah ranum
Demikianlah jua kita ini
yang menapak di tanah gersang
sepi dari kesuburan
Menyusurnya kasih ibu yang wangi
membelai pagi-pagi yang muda
semakin hari
kita terbangun mengenal
harapan dan kekecewaan
susah senang, tawa ria
di sawah bendang
Kita bangun lagi mengenal kehidupan
pahit getir
merah air sawah
hampa padi di huma
Berlalunya musim
yang mengajar salah silap
menyusun acara mengharap
hari-hari muka
kita semakin matang
mengukir kedewasaan...

Ahmad Sabree

Monday, 24 December 2012

Suatu BICARA Tentang CINTA Dalam PERKAHWINAN Dengan KEKASIHKU (i)











Bagiku
perkahwinan bukanlah sebuah tembok
yang memisahkan sebuah daerah
yang penuh dengan keindahan
ke sebuah daerah
membikin hati kita berasa tua
yang saban hari
diburu dengan tanggungjawab
dan suara tangis anak-anak.

Perkahwinan adalah sebuah tugu
dari kejayaan sebuah cinta
dan kebahagiaan
adalah sebuah anugerah
untuk suatu kehidupan
yang dituntut setiap manusia.

Mengapa kita harus lari
dari kenyataan
bahawa kita kini
bukan saja seorang ayah, seorang ibu
tapi sepasang kekasih
uda-dara
yang bisa memadu cintanya
hingga ke pusara.

Apakah kini kita tiada waktu
untuk mengucap kata cinta
apakah kini kita tiada masa
untuk bercinta
kita tahu
cinta adalah lampu
dalam sebuah rumah tangga
(mengapa kita harus memadamkannya?)

Kekasihku
cinta tidak wujud cuma
di alam muda remaja
cinta sejati
terus dewasa bersama waktu
dan diri kita yang semakin tua.

Mari, marilah sayang
kita buka lembaran semalam
yang penuh dengan janji dan yakin
bahawa kita bisa membina kehidupan abadi
yang mewangi dengan bunga kasih
dan cinta manis
sepejal batu karang
tak mudah hancur dihempas gelombang.

Biar anak-anak kita menjadi saksi
pada sebuah cinta
yang terus bernyala
bernyala hingga senja.


~Nor Aini Muhammad
  Dewan Sastera
  Oktober 1976


Thursday, 13 December 2012

HAMBA YANG BERSYUKUR











Mengucapkan rasa syukur ke hadrat Ilahi
Atas limpahan nikmat ke ruang hidup
Seorang lelaki bergelar suami
Mengenderai hidup berkeluarga
Yang dikayuh bersama pacuan semangat
Penuh seluruh menjalinkan tawakal
Ke dalam rentetan ikhtiar yang pasrah

Demi menginsafi kekerdilan diri
Lelaki itu saban malam
Melanjutkan pencarian diri
Dalam munajat khusyuk penuh rintih
Sedang isteri dan anak-anak
Sudah lama lena dibuai impian
Dan harapan yang tak bersempadan

Lelaki itu sekadar
Melangkah dari petak ke petak hidup
Penuh waspada dinaungi doa
Sementara taufan sengketa tak terduga
Kembali bergelombang menguji sabar
Yang dibangunkan sebagai hamba yang bersyukur
Lelaki itu sekadar mengucapkan
"ALHAMDULILLAH!"


~Mat Rodzi Hussin

Monday, 3 December 2012

SETIA MENCINTAIMU












Hari ini...
Aku merinduimu lagi persis semalam
Ketahuilah...
Kerinduan padamu tak pernah berkurang
Bayangan wajahmu sering muncul dalam hatiku
Semakin aku cuba melupakan
Semakin aku ingin menangis
Memori lalu asyik menjelma dalam fikiran
Membuatkan aku tak henti-henti dalam esakan tangisan

Aku rasa menyesal
Kerana terpaksa melalui semua itu
Aku bimbang kau akan melupaiku
Sebenarnya aku...
Cintaimu, aku...aku cinta padamu
Banyak kata-kata yang kupelajari daripadamu
Tapi hanya 3 perkataan itu
Yang asyik aku ucapkan
Adakalanya aku terasa seperti orang yang bodoh
Aku asyik menyalahkan diriku sendiri
Aku benar-benar minta maaf
Maafkanlah diriku ini duhai kasih
Kerana lewat mengucapkan kata cinta
Tapi aku akan sentiasa setia menantimu
Setia untuk terus mencintaimu...