Assalamualaikum dan salam sejahtera... Blog ini cuba menghimpunkan koleksi puisi/sajak/mutiara kata/kata-kata hikmah/artikel yang dikumpulkan lewat pembacaan saya menerusi buku/majalah/akhbar dll. BUKAN semua yang tersiar adalah karya pemilik blog. Justeru kandungan blog ini hanyalah refleksi minat saya yang mendalam terhadap bahasa dan kesusasteraan. Terima kasih kepada semua pengkarya dan medium yang terlibat. All rights reserved to their respective owners.
Monday, 24 December 2012
Suatu BICARA Tentang CINTA Dalam PERKAHWINAN Dengan KEKASIHKU (i)
Bagiku
perkahwinan bukanlah sebuah tembok
yang memisahkan sebuah daerah
yang penuh dengan keindahan
ke sebuah daerah
membikin hati kita berasa tua
yang saban hari
diburu dengan tanggungjawab
dan suara tangis anak-anak.
Perkahwinan adalah sebuah tugu
dari kejayaan sebuah cinta
dan kebahagiaan
adalah sebuah anugerah
untuk suatu kehidupan
yang dituntut setiap manusia.
Mengapa kita harus lari
dari kenyataan
bahawa kita kini
bukan saja seorang ayah, seorang ibu
tapi sepasang kekasih
uda-dara
yang bisa memadu cintanya
hingga ke pusara.
Apakah kini kita tiada waktu
untuk mengucap kata cinta
apakah kini kita tiada masa
untuk bercinta
kita tahu
cinta adalah lampu
dalam sebuah rumah tangga
(mengapa kita harus memadamkannya?)
Kekasihku
cinta tidak wujud cuma
di alam muda remaja
cinta sejati
terus dewasa bersama waktu
dan diri kita yang semakin tua.
Mari, marilah sayang
kita buka lembaran semalam
yang penuh dengan janji dan yakin
bahawa kita bisa membina kehidupan abadi
yang mewangi dengan bunga kasih
dan cinta manis
sepejal batu karang
tak mudah hancur dihempas gelombang.
Biar anak-anak kita menjadi saksi
pada sebuah cinta
yang terus bernyala
bernyala hingga senja.
~Nor Aini Muhammad
Dewan Sastera
Oktober 1976
