Assalamualaikum dan salam sejahtera... Blog ini cuba menghimpunkan koleksi puisi/sajak/mutiara kata/kata-kata hikmah/artikel yang dikumpulkan lewat pembacaan saya menerusi buku/majalah/akhbar dll. BUKAN semua yang tersiar adalah karya pemilik blog. Justeru kandungan blog ini hanyalah refleksi minat saya yang mendalam terhadap bahasa dan kesusasteraan. Terima kasih kepada semua pengkarya dan medium yang terlibat. All rights reserved to their respective owners.
Tuesday, 13 November 2012
SESEKALI MENITI DI PUNCAK
Mendaki pelangi itu,
seringkali keringatku yang gugur
menumbuhkan azam, membuahkan doa
sesekali mentari mengirimkan bahang
membakar semangat perjuangan
ada mendung menyiram subur cita-cita
menguntum kelopak, memayungi usaha.
Di puncak pelangi itu,
aku akan sering memetik sinar bintang
buat kalian menghidupkan perasaan
akan kupintal tali gemawan
buat kalian menggayut harapan.
Sesekali berada di puncak,
ada sorakan memuja
bertingkah dengan cemuhan berjela,
kudengar semuanya!
~Tengku Azam Shah Tengku Mohd
Wednesday, 7 November 2012
JANGAN II (2)
Jangan tenun benang-benang harapan
menjadi kain
kalau yang hendak disulam
hanya sehiris perasaan yang luka
kerana ia mudah terkoyak
apabila terpotong gunting kesumat
yang diam tapi tak diam
Jangan warnai kanvas kehidupan
menjadi lukisan
kalau yang hendak dipamerkan
hanya secebis kebenaran yang patah
kerana ia mudah pudar
apabila seri warnanya rebah
satu-satu di tepian hari
Jangan petik bunga-bunga rindu
menjadi hadiah
kalau yang hendak diberikan
hanya segugus kasih yang luka
kerana ia tak mudah dihargai
apabila jejari tercucuk duri
pedih bisa tak terperi
Jangan susun nada-nada emosi
menjadi lagu
kalau yang hendak diiramakan
hanya sepotong rasa yang palsu
kerana ia mudah sumbang
apabila tangan tiba-tiba layu
dan suara tergantung kaku
yang kehilangan ilham di hujung waktu
Jangan lalukan yang bukan-bukan
menjadi hiburan
kalau yang hendak diraikan
hanya memantulkan kejelikan sendiri
kerana ia tak mudah dihapuskan
di ruang suasana
oleh suara-suara keras
yang gemar menyaksikan
suatu kemusnahan...
~Peter Augustine Goh
Singapura
Friday, 26 October 2012
SAHABAT
Sahabat...
masihkah ada sinar buat kita
mencantumkan retak kemesraan
tatkala dewasa meniti diri
di sini
dalam hangat kota
yang sering menuntut pilihan.
Justeru itu...
aku masih berputar di sini
mencari janji harapan
yang pernah kita dendangkan
sewaktu semilir desa bertaut
kesetiaan lantas mencanai keakraban.
Sahabat...
tidakkah rindu kalian menerpa
menagih kemesraan berzaman
apakah hangat kota
mempertaruh bayu dan badai
di hujung jari nafsu
lantaran masing-masing ego
dengan kematangan dan prinsip diri.
~Maria Hashimi
(Dipetik daripada buku "Ilustrasi Sekeping Hati"
yang diselenggarakan oleh Othman Puteh dan
Rahman Shaari)
Thursday, 18 October 2012
SENJA DI KUALA LUMPUR
Seorang lelaki di warung makan
mengunyah celoteh DJ, muzik RMIK
merenung lalu-lintas bagai simpang-siur persoalan
tiba-tiba dikejutkan oleh suara azan
azan mengetuk dinding menara
azan tersangkut di talian lampu
azan mengusap burung-burung senja
azan mengalir ke batu-batu
Dia pun cepat-cepat menghabiskan nasi di pinggan
lalu berjalan ke arah masjid jamek
di antara gamitan papan-papan iklan
dan suara panggilan peniaga jalanan
dia membasuh mukanya dari debu godaan
dia mencuci tangannya dari daki pencarian
dia menyapu kepalanya dari berat persoalan
dia membasuh kakinya dari karat perjalanan
Selepas sembahyang dia pun berdoa
"Ya Allah
di sini ada senja kehilangan warna
ada waktu kehilangan makna
Kuala Lumpur adalah kota lampu-lampu indah
dan aku adalah di antara jutaan kelkatu
tanpa-Mu aku kehilangan arah
kota ini adalah kota pergelutan gelombang cabaran
tanpa-Mu aku kehilangan pelabuhan."
~Zurinah Hassan
Friday, 12 October 2012
DARI TAMSIL POHON-POHON
Dari tamsilmu,
pohon-pohon yang dimainkan angin
dan akhirnya tunduk
kepada giliran,
aku pun menyempurnakan pengertian:
bahawa hidup ini
adalah suatu lingkaran
yang selalu mendebarkan
di tengah pergulatan
kalah atau menang
kita tidak berdaya melawan
suratan
namun tidak harus berhenti
di pertengahan
kerana diri ini bebas memilih
simpang-simpang
untuk memulakan perjalanan
dan hati lebih mudah menerima
kerana tuhan
lebih
B I J A K S A N A
~Marsli N.O
September 1988
Wednesday, 3 October 2012
IMPIAN BURUNG CAMAR
Aku hanyalah seekor burung camar
Justeru usah kaumarahi aku
Hanya kerana
Kakiku yang seolah-olah terikat
Tak mampu untuk tinggalkan daratan
Kerana aku berasa takut
Aku rasa takut untuk terbang bebas
Meneroka langit yang biru
Mengapa?
Kerana aku sudah biasakan diri
Dengan kehidupan di daratan ini
Kurasa langit sudah menjadi
Tempat asing yang tak kukenali
Tetapi...
Bukankah aku seekor burung camar yang bersayap?
Aku juga punya impian
Impian burung camar...
Thursday, 27 September 2012
AKU MASIH ADA MIMPI
Biar beranjangkan
kertas berkajang
dan langit mendung
menjadi selimut
aku masih ada mimpi
setinggi bangunan ini.
Mulai ini pagi
sewaktu terjaga
sang suria daripada tiduran
akan kuketatkan
pegas jam usaha
yang lama lena
di ranjang malas.
Cepat-cepat
aku bergegas
ke kedai jam
"putarkan
jarum hidupku
ke angka satu".
Si pekedai itu
jadi marah-marah
"bagaimana harus
kukejutkan
jarum jam tua menjadi muda
sedangkan kau
sia-siakannya
di celah-celah
peluang anugerah".
~Lim Kim Hui
Berita Minggu, 8 Dis 1991
Dipetik daripada buku 'Kembara Fikir Di Bumi Senja'.
Subscribe to:
Posts (Atom)






