Assalamualaikum dan salam sejahtera... Blog ini cuba menghimpunkan koleksi puisi/sajak/mutiara kata/kata-kata hikmah/artikel yang dikumpulkan lewat pembacaan saya menerusi buku/majalah/akhbar dll. BUKAN semua yang tersiar adalah karya pemilik blog. Justeru kandungan blog ini hanyalah refleksi minat saya yang mendalam terhadap bahasa dan kesusasteraan. Terima kasih kepada semua pengkarya dan medium yang terlibat. All rights reserved to their respective owners.
Thursday, 26 July 2012
RAMADHAN
Bayu waktu itu datang lagi
Lembut berpuput di halaman kehidupan
Bersama titisan hujan rahmat
Menyegarkan kelopak rasa yang resah
Dan tangan-tangan kerdil menadah
Tenang menanti berteman ibadah
Percikan wangi syurgawi...
Bayu waktu itu datang lagi
Menyingkirkan pasir-pasir maksiat
Yang bertandang di serambi munajat
Lalu mendebu di cermin kehidupan
Dan bayu itu sesungguhya
Membuka tangan pengampunan
Seluas-luasnya...
Alangkah indah
Jika kau sungguh
Dua belas bulan setahun
Di pengkalan hidup ini...
~ATF
Tuesday, 24 July 2012
KUNTUM HARAPAN
Sejarah membuktikan kehidupan wanita
Di zaman jahiliah penuh noda dan dosa
Maruah digadaikan, wajah diperjajakan
Penuh kesengsaraan tiada pembelaan
Tibanya nur Islam menyinar suram alam
Cahaya kebenaran sinar penyuluh iman
Wanita dibelakan, darjatnya ditinggikan
Sejahtera di dalam pelukan ruhul Islam
Lihatlah teman muslimah akhir zaman
Kemewahan dunia yang menjadi idaman
Nafsu amarah yang menjadi teman
Al-Quran ditinggalkan, As-Sunnah dilupakan
Hilang kemanusiaan, punah ruh keinsanan
Insaflah hai teman, perbetul kesilapan
Muslimah akhir zaman
Saatnya kini tiba untuk bangunkan ummah
Bebannya di bahumu Puteri Islam semua
Binalah ummah ini, curahkan jasa bakti
Demi Ad-Din yang unggul, dengan hati yang luhur
Kembalikan zaman kegemilangan
Turuti sejarah Islam yang silam
Indahnya pakaian mahmudah
Tenangnya jiwa mutmainnah
Fikrah disumbang membantu ummah.....
Monday, 9 July 2012
TANGISAN DAN SENYUMAN
Tangisan dan senyuman berbeza
Ada waktu ada tikanya
Seringkali kita tertipu
Seringkali terpedaya
Adat dunia yang fana
Usah ditangisi kehilangan
Kematian atau keruntuhan
Kehancuran yang diratapi
Kegemilangan yang dinanti
Takkan kembali tanpa pembelaan
Kejujuran dan keinsafan
Bagai tak kelihatan
Nilaian budi yang hilang
Kekadang hati menangis sepi
Merayu, merintih merindui
Jiwa meronta pinta santapan
Tiada pedoman dan haluan
Wahai insan mukmin yang patuh
Bangkitlah segera dari tidur yang lena
Malam yang sunyi bersihkan diri
Sujud pada Ilahi
Bermunajatlah, bertaubatlah, menangislah
Dunia ini hanya pinjaman
Hanya untuk sementara cuma
Dari Allah kamu datang
Kepada-Nya kamu kembali
Dari itu waspadalah.....
Monday, 25 June 2012
BERPADA-PADA
Yang disebut sifat berpada-pada
Mengejar pangkat pada darjatnya
Mengejar harta pada patutnya
Mengejar kedudukan pada layaknya
Pangkat jangan membawa mudarat
Harta jangan membawa nista
Kedudukan jangan membinasakan
Selera jangan dimanjakan
Nafsu jangan diturutkan
Dunia jangan membutakan
Ukur bayang-bayang sepanjang zaman
Ukur ilmu dengan kemampuan
~Tenas Effendy 2003a
Tuesday, 19 June 2012
SUARA ALAM
Dengarkanlah suara alam
Berkumandang dalam diri
Menyatukan rentak dan gerak
Kehidupan duniawi
Tatkala kita menjelajah
Ke segenap ceruk dan pelusuk
Menggeledah khazanah alam
Dengan penuh kesyukuran
Hayatilah
DEGUP TANAH pada BUMINYA
DEBUR AIR dari ALIRNYA
MARAK API dalam NYALANYA
DESIR ANGIN dengan DERUNYA
~Asparagus
Tuesday, 12 June 2012
PANTUN BUDI
Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa,
Indah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa.
Anak Cina mengirim surat,
Dari Jawa sampai ke Deli,
Hidup di dunia biar beradat,
Budi tidak dijual beli.
Pergi berakit mencari kerang,
Padi di bendang dimakan kedidi,
Bukan ringgit dipandang orang,
Tapi memandang bahasa dan budi.
Anak dara duduk di pangkin,
Berhias cantik bergelang suasa,
Tidak kira kaya miskin,
Asalkan baik budi bahasa.
Ayam rintik di pinggir hutan,
Nampak dari tepi telaga,
Budi yang baik jadi ingatan,
Seribu tahun terkenang juga.
Nanas dijual di pasar niaga,
Ramai orang datang membeli,
Emas perak perhiasan dunia,
Budi bahasa perhiasan diri.
Sebesar-besar mayang pinang,
Takkan sama mayang kelapa,
Sebesar-besar sayang orang,
Tak sama sayang ibu bapa.
Halia ini tanam-tanaman,
Ke barat juga tumbuh condongnya,
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Akhirat juga akan sungguhnya.
~Dipetik daripada 'Seuntai Kata Seindah Bahasa'
Penyusun: Jaharah Nordin
Sunday, 27 May 2012
PUISI SUAMI UNTUK ISTERINYA...
You have my heart
You have my soul
You make me one
You make me whole
You make me smile
When I feel sad
You make things good
When they are bad
You never take
You always give
And this is how
I want to live
My life is blessed
With you around
And I thank God
That I have found
One like you, and may I say
A lady who's perfect in every way
Thank you for just being you
Aku cinta padamu, sayangku...
~Saudara Mahathir b. Abdullah
Sumber: Akhbar tempatan
Subscribe to:
Posts (Atom)






