Tuesday, 12 June 2012

PANTUN BUDI










Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa,
Indah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa.

Anak Cina mengirim surat,
Dari Jawa sampai ke Deli,
Hidup di dunia biar beradat,
Budi tidak dijual beli.

Pergi berakit mencari kerang,
Padi di bendang dimakan kedidi,
Bukan ringgit dipandang orang,
Tapi memandang bahasa dan budi.

Anak dara duduk di pangkin,
Berhias cantik bergelang suasa,
Tidak kira kaya miskin,
Asalkan baik budi bahasa.

Ayam rintik di pinggir hutan,
Nampak dari tepi telaga,
Budi yang baik jadi ingatan,
Seribu tahun terkenang juga.

Nanas dijual di pasar niaga,
Ramai orang datang membeli,
Emas perak perhiasan dunia,
Budi bahasa perhiasan diri.

Sebesar-besar mayang pinang,
Takkan sama mayang kelapa,
Sebesar-besar sayang orang,
Tak sama sayang ibu bapa.

Halia ini tanam-tanaman,
Ke barat juga tumbuh condongnya,
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Akhirat juga akan sungguhnya.

~Dipetik daripada 'Seuntai Kata Seindah Bahasa'
   Penyusun: Jaharah Nordin