Thursday, 17 November 2016

SABAR ITU INDAH


SABAR ITU INDAH
Ehsan Google














Di uncang hati ini tersimpan
Cita-cita dan harapan
Demi Allah aku niatkan
Kerana Dia Maha Mendengarkan
Segala doa dan rintihan
Moga ada lembayung keredhaaan
Yang memayungi di hujung jalan…

Lorong berliku penuh selumbar
Rela kutempuh dengan sabar
Titisan air mata tanpa sedar
Curahan keringat tiada gusar
Darah merah mengalir tidak gentar
Kerana aku mendengar khabar
Janji Allah syurga itu benar…

Meski kutahu Ya Allah
Takdir-Mu tak mampu kuubah
Ikhtiar tetap kusempurnakan penuh tabah
Bila anugerah-Mu jadi sesuatu yang indah
Imanku pada-Mu semakin bertambah
Bila ujian-Mu datang menggugah
Ajari aku sabar dalam istiqamah…

Wahai Tuhan Yang Maha Mengurniakan
Andai benar katanya insan
Lebih mudah sabar dalam kesusahan
Daripada sabar dalam kesenangan
Jadikanlah aku golongan pertengahan
Yang Engkau berikan pilihan
Untuk menilai anugerah-Mu Tuhan
Sama ada kebaikan atau keburukan
Sebagai satu kurniaan
Yang tidak ternilaikan
Harus kuterima penuh kesyukuran
Dan nikmatinya dengan kesabaran…

Karya:
Zarina bt Sitiris
11 November 2016
Hak Cipta Terpelihara