Monday, 12 August 2013

SEDIKIT CATATAN TENTANG BEBAS DAN MERDEKA (Untuk Adik-Adik)











Suatu hari adik bertanya
apakah erti 'kebebasan'
lalu kubuka kamus
kubeberkan pengertian
bahawa 'bebas' itu
bilamana tak terhalang
tidak juga terkongkong
apalagi terkurung,
seseorang itu bebas
bilamana ia lepas
dan merdeka

lalu adik bertanya lagi
apa itu 'merdeka'
kubuka lagi kamus,
merdeka itu-
     bebas dari penjajahan
     atau kurungan
     atau naungan,

ia juga beerti
     lepas dan berdiri
     tidak mengharap yang lain

tapi adik semakin keliru
dan meminta contoh,
lalu kubacakan beberapa puisi
     tentang bebas dan merdeka

Adikku
'bebas' itu 'merdeka'
dan berdiri sendiri
tapi adik semakin keliru
adik tak mungkin faham
kerana ia
merdeka pada nama
bukan pada rasa...


~Zaiton Ajamain
  Kota Kinabalu, 1983
  Sumber: Buku 'Bagai Layang-layang'