Ya Allah, mengapakah seringkali aku berasa sukar untuk menterjemah
keindahan hikmah dan nikmat di sebalik keperitan ujian dan dugaan-Mu dalam
hidupku? Malah kenapa adakalanya aku gagal menafsir dan menaksir maksud yang
tersurat apalagi makna yang tersirat yang terselindung di sebalik cubaan hidup
ini? Bukan maksudku untuk mengingkari qada' dan qadar-Mu, jauh sekali untuk tidak
meredhainya, tetapi aku sekadar ingin memanjatkan munajat dan pengharapanku di
hadapan-Mu…tanda betapa kerdilnya diriku dan betapa lemahnya dayaku tanpa belas
kasihan dan kasih sayang-Mu, Ya Allah.
Mungkin juga kekadang aku terlupa hakikat sebenar kewujudan diriku di dunia
yang fana ini. Siapalah aku untuk mempersoalkan ketentuan-Nya dan apalah hak
aku untuk mempertikaikan keputusan-Nya. Sebagai hamba sewajibnya aku mengakui
keagungan dan kehebatan Allah dalam melakar dan merencana aturcara hidupku.
Nisbah bagi hamba hanyalah berusaha namun nisbah bagi Allahlah untuk
merealisasikannya. Bak kata sang bijak bestari, ‘Kita tidak mampu untuk
mengawal arah angin namun kita dapat mengawal haluan kemudi.’ Begitulah juga
realitinya dalam kehidupan manusia yang hanya mampu merancang sedangkan yang
Maha Menentukan hanyalah Dia yang Maha Berkuasa.
Dan jawapan kepada persoalan yang aku bangkitkan sebentar tadi iaitu
mengapa sukar mencari hikmah di sebalik musibah mahupun mehnah…pastinya kerana
kekurangan dan keterbatasan akal serta pemikiran manusia itu sendiri. Selagi
manusia bernama manusia selagi itulah ia berfikir dan bertindak dalam
lingkungan sifat-sifat manusia yang antaranya: tergesa-gesa, kedekut, mudah
lupa, tidak sabar, suka berkeluh-kesah, sombong, tidak berterima kasih, suka
menunjuk-nunjuk, suka merosakkan diri sendiri dan sangat mencintai dunia.
Aku juga percaya kegagalan ini bukan bermaksud Engkau tidak mengasihiku
melainkan Engkau mempunyai perancangan atau agenda yang lebih baik buatku.
Mungkin juga Engkau menjauhkan kejayaan daripadaku kerana bimbang aku tidak
mampu untuk memenuhi hak-hak memiliki kejayaan itu atau tidak mahu aku menjadi
seorang yang kufur nikmat. Kejayaan itu sekiranya aku perolehi mungkin boleh
saja membuatkan aku lupa diri, lupa untuk bersyukur dan berasa ujub pada diriku
sendiri. Dan sebenarnya semua kejayaan dan kemasyhuran itu pasti tidak akan
terjadi tanpa keinginan dan keizinan daripada-Mu.
Tuhanku, bukan mudah untukku bangkit dari kegagalan lalu dan meneruskan
sisa-sisa perjalanan hidup menuju redha-Mu. Syukurlah, Engkau sentiasa ada di
sisiku, selalu menemaniku dalam susah dan senang, dalam suka dan duka. Aku
percaya pada sabda Rasul-Mu yang bermaksud:
(Allah itu lebih dekat daripada urat lehermu)
Kau boleh diibaratkan sebagai nyawaku… bukan, yang lebih tepat Engkaulah
Yang Maha Menghidupkan dan Mematikan hamba-Mu, Engkaulah yang mengawal dan
memiliki nyawa dan jasadku. Engkau punya semua hak ke atas setiap inci tubuh
ini zahir dan batin. Aku tidak dapat hidup jika tanpa kehendak dan
rahmat-Mu. Tanpa hidayah dan petunjuk
daripada-Mu aku bisa tersesat dan tersasar dari landasan kebenaran hidup ini.
Aku sedar sebagai hamba-Mu yang lemah aku sentiasa memerlukan sokongan dan
pertolongan-Mu pada setiap peringkat hidupku. Cinta dan kasih sayang-Mu punya
kekuatan dan impak yang mendalam terhadap perjuanganku mencari sakinah-Mu.
Pernah dahulu aku ragui suratan hidup yang Engkau beri. Pernah juga aku sesali
kenyataan hidup yang kualami. Tapi di suatu sudut hatiku, aku tetap mempercayai
firman-Mu:
(Aku tidak menguji hamba-Ku melebihi kemampuannya)
Alangkah indahnya ayat suci itu, bagai membius luka yang berdarah dan duka
yang semakin parah dalam hatiku ketika itu. Berulang-ulangkali kuulangi bacaan
ayat tersebut sambil menghayati maksud dan cuba menerapkannya dalam fikiranku.
Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim… berilah aku kekuatan untuk menghadapi dugaan-Mu
kali ini.
Ternyata Engkau Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui segala
rintihan hamba-Mu. Di saat diriku diselubungi kesedihan dan kehibaan, Engkau
datang menyuntik keceriaan dan keriangan dalam hatiku. Tibanya hidayah-Mu
ketika aku amat memerlukannya, sampainya nur-Mu apabila aku amat
menginginkannya. Ternyata Engkau lebih memahami keadaan dan situasi sebenar
diriku.
Betapa aku amat bersyukur dan berterima kasih pada-Mu Ya Allah atas segala
pemberian dan anugerah yang Engkau
kurniakan dalam hidupku. Segala kepayahan dan kesenangan, kedukaan dan
kegembiraan, kegagalan dan kejayaan semuanya bagaikan asam garam dan rempah
ratus dalam kehidupan. Tanpa kepayahan, kesenangan itu mungkin kurang dihargai,
tanpa kedukaan, kegembiraan itu mungkin kurang dinikmati dan tanpa kegagalan,
kejayaan itu mungkin bagaikan kekurangan erti.
Tuhanku, sesungguhnya ketenangan hati, kelapangan dada dan kejernihan
fikiran yang kurasakan kini amatlah kusyukuri. Bantulah aku Ya Allah untuk
mendidik hati ini agar sentiasa mengingati-Mu, dalam suka dan duka, dalam ria
dan sengsara. Ini kerana tanpa-Mu siapalah aku di bumi yang fana ini, bagaikan
sebutir pasir yang mencari ruang untuk berlabuh di pesisiran pantai.
Janganlahlah pula Engkau izinkan Ya Allah agar keindahan dan kenikmatan
dunia ini menjadi penghalang dan penghadang untuk aku memiliki hati yang
sentiasa mengingati kurniaan-Mu, hati yang selalu mengenangkan anugerah-Mu
dalam hidupku. Ya Allah jadikanlah aku di kalangan hamba-hamba-Mu yang
bersyukur, yang berterima kasih di atas segala pemberian-Mu.
Tuhanku, sebagai hamba yang serba kekurangan, sesuai dengan sifat-sifat
manusiawi aku memohon, jadikanlah kecintaanku terhadap-Mu melebihi kecintaanku
terhadap dunia ini dan seluruh isinya. Sesungguhnya tiada cinta yang lebih ku
dambakan selain kesempurnaan cinta terhadap-Mu, Ya Allah. Bantulah aku Ya Allah
untuk mendidik nafsuku dan tolonglah aku untuk menjadi insan yang memiliki jiwa
dengan nafsu mutmainnah, jiwa yang saling meredhai, iaitu aku merasa redha
dengan-Mu dan Engkau pula meredhai aku. Amin Ya Rabbal Alamin.
WALLAHUA'LAM.
~Ditulis dan dikirimkan oleh: Zarina HS, Alisa Qaisara MH dan Muhammad Adam Hakimi MF.
