Thursday, 18 October 2012

SENJA DI KUALA LUMPUR











Seorang lelaki di warung makan
mengunyah celoteh DJ, muzik RMIK
merenung lalu-lintas bagai simpang-siur persoalan
tiba-tiba dikejutkan oleh suara azan
          azan mengetuk dinding menara
          azan tersangkut di talian lampu
          azan mengusap burung-burung senja
          azan mengalir ke batu-batu

Dia pun cepat-cepat menghabiskan nasi di pinggan
lalu berjalan ke arah masjid jamek
di antara gamitan papan-papan iklan
dan suara panggilan peniaga jalanan
          dia membasuh mukanya dari debu godaan
          dia mencuci tangannya dari daki pencarian
          dia menyapu kepalanya dari berat persoalan
          dia membasuh kakinya dari karat perjalanan

Selepas sembahyang dia pun berdoa

          "Ya Allah
          di sini ada senja kehilangan warna
          ada waktu kehilangan makna
          Kuala Lumpur adalah kota lampu-lampu indah
          dan aku adalah di antara jutaan kelkatu
          tanpa-Mu aku kehilangan arah
          kota ini adalah kota pergelutan gelombang cabaran
          tanpa-Mu aku kehilangan pelabuhan."

~Zurinah Hassan
 

Friday, 12 October 2012

DARI TAMSIL POHON-POHON











Dari tamsilmu,
pohon-pohon yang dimainkan angin
dan akhirnya tunduk
kepada giliran,
aku pun menyempurnakan pengertian:
bahawa hidup ini
adalah suatu lingkaran
yang selalu mendebarkan
       di tengah pergulatan
        kalah atau menang
        kita tidak berdaya melawan
        suratan
namun tidak harus berhenti
di pertengahan
kerana diri ini bebas memilih
simpang-simpang
untuk memulakan perjalanan
        dan hati lebih mudah menerima
        kerana tuhan
        lebih
        B I J A K S A N A

~Marsli N.O
  September 1988

Wednesday, 3 October 2012

IMPIAN BURUNG CAMAR











Aku hanyalah seekor burung camar
Justeru usah kaumarahi aku
Hanya kerana
Kakiku yang seolah-olah terikat
Tak mampu untuk tinggalkan daratan
Kerana aku berasa takut
Aku rasa takut untuk terbang bebas
Meneroka langit yang biru
Mengapa?
Kerana aku sudah biasakan diri
Dengan kehidupan di daratan ini
Kurasa langit sudah menjadi
Tempat asing yang tak kukenali
Tetapi...
Bukankah aku seekor burung camar yang bersayap?
Aku juga punya impian
Impian burung camar...

Thursday, 27 September 2012

AKU MASIH ADA MIMPI












Biar beranjangkan
kertas berkajang
dan langit mendung
menjadi selimut
aku masih ada mimpi
setinggi bangunan ini.

Mulai ini pagi
sewaktu terjaga
sang suria daripada tiduran
akan kuketatkan
pegas jam usaha
yang lama lena
di ranjang malas.

Cepat-cepat
aku bergegas
ke kedai jam
"putarkan
jarum hidupku
ke angka satu".

Si pekedai itu
jadi marah-marah
"bagaimana harus
kukejutkan
jarum jam tua menjadi muda
sedangkan kau
sia-siakannya
di celah-celah
peluang anugerah".


~Lim Kim Hui
  Berita Minggu, 8 Dis 1991

Dipetik daripada buku 'Kembara Fikir Di Bumi Senja'.


Tuesday, 18 September 2012

PADA SUATU PAGI











Bangun pagi-pagi
Kulihat golekan mentari
Dari perbukitan ilmu
Masih merah siddiq
Kian sirna lamunannya
Mengetuk setiap pintu
Setiap jendela alam...

Alangkah
Bangun pagi-pagi
Kupanjatkan taqwa Ilahi
Kubuka balkoni kehidupan
Halaman yang saujana
Menggunung di puncak hasrat
Pasrah lapang menanti
Hari cerah mendatang...

Bangun pagi-pagi
Ku kemaskan peribadi murni
Setelah syukuri nikmat-Nya
Keperhambakan diri ke jalan-Mu
Sebelum ke kuliah pagi...

~Rajie Hadi

Sunday, 16 September 2012

INGATAN MANUSIA...












~Daya ingatan manusia ini pelik...

#Ada perkara yang kita patut ingat, tetapi kita lupa.

#Ada perkara yang mahu dilupa, tetapi asyik teringat                                                         


~Forget everything that makes you feel sad and remember only the good memories that makes you happy....!


~Certain thoughts that are deep in your mind are very difficult to be thrown away from your mind even though you think that you are the master of your mind...:)

Saturday, 8 September 2012

GENERASI (1)











Burung merintih kehilangan sarang
Badai menghempas kini tersenyum puas
Itulah kita di bumi tercinta
Terumbang-ambing tiada nakhoda
Itulah kita di bumi tercinta
Menagih simpati pada fatamorgana

Sedarlah...
Bangunlah...
Generasi bumi akhir zaman
Bantuilah kami
Redhailah kami
Perjuangan tegakkan deenul Islam yang suci
Bantuilah kami
Redhailah kami
Agar tertegak kalimah-Mu di langit tinggi

Maju generasi ayuh ke depan sana
Korbankan segala demi cita mulia
Biar darah mengalir biar diri tersungkur
Onak kita lalui walau lukai diri
Linangan airmata keazaman di jiwa
Bumi subur kembali menjadi cita-cita...